Doakan kami dikurniakan zuriat

Daisypath Anniversary tickers

Perhatian

Untuk baca post sebelum ini, sila lihat senarai post di sidebar dan di bawah pos. Jika nak baca post berdasarkan label, ada di sidebar dan menu atas blog (digalakkan).

Bagaimana Aku Menanti Zuriat Pada Usia Perkahwinan 13 Tahun?


Post ini fokus tentang bagaimana aku menjalani kehidupan dan berdepan isu sensitif tentang zuriat.

Berumur 38 tahun tahun ini (2019) dah tua dalam konteks tempoh umur ideal untuk mengandung dan dah 13 tahun berkahwin (Alhamdulillah), orang dah tak teruja nak tanya atau mengusik (mungkin?). Jadi aku dah kurang berdepan dengan situasi yang tak selesa berkenaan layanan orang sekeliling.

Tapi mungkin juga sebab kehidupan aku sekarang pun terhad pada ruang lingkup kecil. Aku tak ada rakan sekerja, bisnes online di rumah. Jarang jumpa orang ramai, orang kampung, aku elak mana yang buat aku tak selesa.

Dalam cara hidup aku macam ni pun, tahun lepas atau dua tahun lepas macam tu, ada juga situasi aku berkenalan dengan seseorang di pejabat pos. Dipendekkan cerita (dan details perbualan aku pun dah tak ingat), perbualan kami membawa kepada produk dalam usaha untuk mengandung, memang aku ada ambil produk tu tapi dah berhenti. Rasanya aku tak sentap atau terasa hati, cuma macam mana nak terangkan pada dia yang kalau aku je makan produk tu, tapi suami aku tak usaha apa-apa, macam tak kena cara.

Sedang cuba menerangkan, perbualan terhenti bila nombor giliran aku tiba. Sampai salah kaunter aku pergi hahaha sedangkan selalu sangat aku berurusan di pejabat pos tu. Bila fikir balik macam mana ye perbualan pertama kami boleh membawa kepada isu yang sangat personal macam tu? Sebelum tu kami memang pernah bertembung, cuma aku tak perasan dan kami tak pernah berbual sebelum itu. Mungkin sebab dia benar-benar berniat baik dan aku kelihatan tenang dan tak kisah berbicara mengenainya?

Sebenarnya sekarang aku masih melarikan diri dari situasi-situasi yang bahaya. Raya Syawal baru-baru ni, aku sembunyi dalam tandas sebab tak nak jumpa makcik-makcik jiran yang datang marhaban. Ya, berkali-kali aku lari ke tandas, mujur ada anak-anak saudara yang memahami bagi signal setiap kali ada makcik-makcik ke dapur nak salam. Aku berdosa sebab buruk sangka, yang mereka akan melukakan hati aku. Semoga Allah ampuni aku. Kalau nak fikir positif, kesian makcik-makcik tu sampai ke dapur mencari siapa-siapa yang lama tak bersua. Tapi tulah, bagi aku apa-apa pun boleh jadi kalau aku ambil keputusan tidak melarikan diri. Ntah la..

Walaupun aku menjalani kehidupan macam ni, tapi aku harap aku boleh ubah kepada yang lebih positif. Zaman sekarang ni ada ramai guru yang boleh kita rujuk untuk upgrade nilai diri, keyakinan diri, belajar jadi positif dan sebagainya. Pilihlah mana yang baik dan merujuk kepada pihak yang arif. Ada harapan untuk adik-adik yang baru kahwin cuba untuk kuasai ilmu seperti ini dalam menghadapi cabaran TTC dengan lebih tenang dan gembira. Cari gali ilmu positif-positif yang senang nak dapat di media social sekarang, pergi kelas kalau mampu dan apa-apalah yang baik-baik. Jangan fokus pada kata-kata / orang negatif.

"Anda tak boleh kawal situasi, namun anda boleh kawal emosi. Jika situasi negatif, emosi positif, kesannya insya Allah positif"
- Prof Dr Muhaya

Pernah tak korang rasa tak nak dengar nasihat orang sebab orang tu tak rasa apa kau rasa? Ni, aku yang dah 13 tahun dalam perkahwinan dan masih mengharap dikurniakan zuriat, nasihatkan korang (dan aku sendiri), sama-sama kita besarkan jiwa hadapi ujian kecil ini. Dalam keadaan ini, elak fokus pada perkara negatif terutama dari tindak tanduk orang lain. Itu urusan mereka, urusan kita dengan diri kita dan Allah. Sekarang kita fokus apa yang Allah suruh kita sepanjang hidup di dunia ini. Kalau ada anak, didik untuk keredhaan Allah, tak ada anak, lambat dapat anak, kita buat apa yang kita boleh dengan apa yang kita ada untuk keredhaan Allah. Kita usaha dengan rawatan-rawatan pun untuk keredhaan Allah. Semuanya kerana Allah. Ingat balik apa tujuan Allah ciptakan kita iaitu untuk beribadah kepadaNya.

Sama-sama kita mengingatkan antara satu sama lain.

Nota : Aku mohon, jika ada terasa ingin mengata perkara yang tak baik terhadap sesiapa yang dinyatakan dalam blog ini, tolong elakkan. Aku menulis dengan harapan Allah kira sebagai ilmu yang bermanfaat. Doakan aku yang baik-baik. Semoga Allah sentiasa pelihara niatku dan tingkah lakuku ❤️

Love

04 September 2019

Post berkaitan :
Perjalanan Blog Irtiyah - Bahagian 1
Perjalanan Blog Irtiyah - Bahagian 2

No comments:

Post a Comment

Sila komen.. jangan malu.. jangan takut.. tuan tanah tak makan orang... =)

Pembaca yang tiada blog @ akaun blogger / tidak mahu dikenali masih boleh tinggal komen guna anonymous tapi kalau boleh sila tulis nama @ nickname selepas komen.

Nama tu adalah nama yg sama anda guna di blog ini supaya saya tidak keliru anda dengan pembaca yang lain. =)